Photos

Tuesday, January 12, 2016

Bisnes Makanan Cara Berbeza

FATIN FARHANA JAPRE selami dunia perniagaan tiga anak muda yang berkonsepkan trak makanan untuk raih rezeki lumayan.

Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis trak makanan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tinjauan penulis mendapati remaja golongan yang paling ramai berniaga menggunakan konsep trak. Ada yang menjual makanan, jus buah-buahan dan pelbagai makanan unik yang menarik perhatian ramai.

Keuntungan berlipat ganda selain tidak perlu membayar sewa tapak setiap bulan menyebabkan ramai mengambil peluang berniaga berkonsepkan trak sebagai alternatif.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada segelintir remaja berkerjaya sanggup berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuh masa terhadap perniagaan trak makanan ini.

Ikuti temu bual penulis bersama tiga anak muda yang sudah menembusi perniagaan berkonsepkan ‘trak makanan’ ini.

Chingunara Cafe

Pengembaraan dua gadis ke Korea Selatan memberi inspirasi kepada mereka berniaga wafel berkonsepkan trak makanan. Hasil perbincangan awal tahun lalu, Nurliyana Mohammad Sanusi, 25, dan Nor Bayzura Mhd Hatta, 25, menjadi rakan kongsi berniaga secara kecil-kecilan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam dengan khemah kecil.

Sambutan luar biasa daripada pelajar terhadap wafel pelbagai perisa menarik olahan dua sahabat ini menyebabkan mereka mengambil langkah seterusnya. Bermodalkan pinjaman RM50,000 daripada ahli keluarga, mereka membeli sebuah lori secara tunai untuk menaik taraf Chingunara Cafe.

Menurut Nurliyana, nama Chingu bermaksud kawan dalam bahasa Korea manakala Nara gabungan namanya dan Zura.

Bukan itu saja, makanan yang dijual mereka juga berkonsepkan ala Korea. Penulis juga diberi peluang merasai kombo wafel empat ‘topping’ iaitu karamel pisang, strawberi coklat, nutella, ‘whipped cream oreo’. Rasanya memang unik dan sedap!

“Kami ada pelbagai jenis perisa jus buah-buahan, wafel dan ‘crepe’ antaranya Nutella, pisang dan ‘crepe’ buah-buahan. Paling laris setakat ini ialah wafel karamel pisang sebab rasanya yang tidak terlalu manis. Kena cuba dulu baru tahu sedap atau tidak kerana semua makanan ini resipi olahan kami sendiri. Selain itu, harga yang ditetapkan serendah RM4 dan tiada di tempat lain.

“Dari segi promosi pula kami akan memuat naik gambar menu terbaru dan kawasan kami berniaga setiap hari di laman sosial Facebook atau Instagram (@chingunaracafe). Lokasi kami berniaga selalunya di Taman Sri Puteri, Meru, Klang berhadapan rumah selain mempunyai sebuah kios di Sepang. Chingunara Cafe juga turut dibuka di acara keramaian seperti festival makanan di Dataran Merdeka dan banyak lagi,” katanya.

Kata Nor Bayzura pula, banyak cabaran yang perlu mereka tempuh untuk sampai ke tahap ini. Pernah pada awal pembukaan Chingunara Cafe mereka hanya meraih keuntungan RM16 sehari, namun mereka tetap meneruskan usaha untuk memperkenalkan Chingunara Cafe sehingga dikenali ramai hari ini.

“Alhamdulillah, usaha kami memberi rezeki berlipat ganda apabila dalam sebulan kami boleh meraih keuntungan kasar sebanyak RM15,000. Kami juga menggaji pekerja untuk mengendalikan trak makanan dan kios kami di Sepang.

“Perniagaan berkonsepkan trak ini sangat menguntungkan jika kena pada tempat dan jenis makanan yang dijual. Apa yang penting jangan mudah putus asa dan sentiasa mencari alternatif baru untuk menambat selera orang ramai dengan makanan yang kita jual,” katanya.

Mr. Crepes Truck

Meskipun tamat pengajian dalam bidang ijazah Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam awal tahun lalu, Azim Nurhakim Mohd Taslim (Azim), 23, turut tidak melepaskan peluang memulakan perniagaan berkonsepkan trak makanan.

Azim berkata, awalnya dia bercadang membuka sebuah kafe, tetapi keluarga pula mencadangkannya memulakan perniagaan menggunakan trak walaupun lari daripada bidang pengajiannya. Berbekalkan modal RM40,000 hasil pinjaman daripada keluarga, Azim membeli sebuah trak makanan dan memulakan perniagaan yang diberi nama Mr. Crepes Truck.

“Pilihan makanan di Mr. Crepes Truck berkonsepkan Barat seperti ‘crepes’, paratha, ‘cheezy nachos’, bebola daging keju dan banyak lagi. Kebanyakan pelanggan akan mencari ‘paratha’ sebab intinya dipenuhi hirisan daging dan sayur-sayuran segar selain mengenyangkan. Selain itu, harga serendah RM6 hingga RM8 amat berpatutan bagi pelanggan kami.

“Hari ini pun, perniagaan sebegini dipelopori oleh anak muda Melayu dan ramai memilih membeli makanan yang dijual dari trak makanan. Saya tidak perlu fikir mengenai sewa bulanan dan fokus kepada penyelenggaraan trak saja. Walaupun saya meraih keuntungan kasar RM8,000 sebulan, saya masih meneruskan promosi memperkenalkan ‘food truck’ saya di Instagram (@mrcrepestruck) dan medium lain.

“Perancangan masa terdekat pula, saya akan membuka sebuah kafe di Cyberjaya bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada pelanggan saya untuk menikmati pelbagai jenis makanan kegemaran mereka dari Mr. Crepes Truck,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 11 January 2016 @ 10:48 AM - See more at: http://www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment